Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Projek Penanaman Padi Secara Komersial di kawasan Kandol, Daerah Belait yang dikendalikan oleh Syarikat Paddyco Sdn Bhd, anak syarikat di bawah Darussalam Assets, telah mengeluarkan hasil tuaian sebanyak 21.7 tan metrik secara keseluruhannya.
Manakala itu, penanaman musim kedua seluas 18.23 hektar pada April 2020 nanti juga dianggarkan akan dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 9 hingga 27 tan metrik secara keseluruhannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata, Syarikat Paddyco telah menjangkakan bahawa projek berkenaan akan menyumbang sekurang-kurangnya 11 hingga 13 peratus sara diri pada 2025 dengan mana penuaian pertama telah dilaksanakan pada 8 Februari lalu.
Yang Berhormat Dato mengongsikan perkara ini semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2020) Perbekalan 2020/2021 pada hari ketiga, Majlis Mesyuarat Negara Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 di Dewan Majlis, hari ini.
Tambah beliau, apa yang membanggakan ialah setakat ini, Syarikat PaddyCo mempunyai lapan orang pekerja tempatan yang menunjukkan bahawa anak tempatan juga berkebolehan untuk menceburi bidang pertanian.
Beliau juga menyentuh mengenai Projek One Common Billing System (OCBS) telah dilancarkan pada 27 Februari lalu di mana Jabatan Kemajuan Perumahan di bawah Kementerian Pembangunan merupakan jabatan yang pertama menggunakan sistem berkenaan.
Bagi fasa seterusnya, tambah beliau, ia akan dilaratkan kepada sembilan buah jabatan terpilih.