MADRID, 3 FEB – Rafael Nadal berkata kelmarin dia masih tidak berpuas hati dengan 21 gelaran Grand Slamnya berikutan kejayaan bersejarahnya di Terbuka Australia.
Nadal meraih kemenangan besar terbaharunya di Melbourne selepas melakukan kebangkitan luar biasa daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan pemain Rusia, Daniil Medvedev di peringkat akhir.
Kemenangan penting pemain berusia 35 tahun itu membawanya ke puncak senarai lelaki sepanjang zaman dan satu kelebihan daripada 20 gelaran Grand Slam yang dimenangi oleh Roger Federer, yang cedera serta Novak Djokovic, yang diusir secara kontroversi dari Australia sebelum perlawanan kejohanan itu bermula.
Pemain Sepanyol itu kini boleh mencapai 22 gelaran di Terbuka Perancis pada Jun, di mana dia telah dinobatkan sebagai juara dengan rekod 13 kali.
“Saya tidak tahu berapa jumlah gelaran Grand Slam yang akan saya miliki,” kata Nadal pada sidang media di akademinya di Mallorca.
Kebangkitan semula Nadal menentang Medvedev juga mempunyai konteks yang lebih luas, memandangkan dia mempunyai keraguan untuk kembali ke tenis profesional ketika bergelut dengan kecederaan kaki tahun lalu. – AFP