21 jemaah masjid khatam Al-Quran secara maya

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seramai 21 orang ahli Tadarus Al-Quran dari beberapa buah masjid di negara ini, hari ini, telah bergabung menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran secara dalam talian kali kedua sebagai tanda kesyukuran setelah menamatkan bacaan Al-Quran 30 juzuk.

Majlis khatam berkenaan merupakan inisiatif jemaah Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri yang mengumpulkan para pembaca terdiri daripada jemaah masjid-masjid dengan membentuk satu kumpulan bagi mengadakan kumpulan tadarus Al-Quran.

Walaupun masjid masih lagi belum dibuka untuk jemaah menunaikan sembahyang, platform atas talian dijadikan sebagai penghubung dan berkumpul secara maya untuk terus mempertingkatkan dan memperbaiki bacaan Al-Quran.

Antara jemaah masjid yang menyertai dalam majlis bertadarus berkenaan adalah dari Masjid Kampung Mentiri, Masjid Kampung Sungai Hanching, Masjid Kampung Salambigar, Masjid Kampung Batong, Masjid Zainab, Lumut, Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis, Masjid Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku; Balai Ibadat Kampung Mata-Mata; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Kampung Bukit Beruang Tutong; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Surau Tentera Udara Diraja Brunei; Masjid Jubli Perak, Kampung Jangsak; Masjid Kampung Kapok dan jemaah Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA).

Inisiatif bertadarus secara talian itu merupakan salah satu hasrat untuk meneruskan pembacaan Al-Quran secara istiqamah dan berjemaah dalam kalangan para jemaah masjid di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan secara maya oleh beberapa buah masjid di negara ini.