Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 21 orang ahli Kadet Tentera Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah dinaikkan pangkat pada acara kenaikan pangkat Pasukan Beruniform Kadet Tentera KUPU SB kali kedua yang berlangsung di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Memerintah Pasukan Kadet Tentera Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei (ASMDB), 905 Mejar Salehah binti Haji Alim.
Turut hadir ialah Pemangku Raes KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.
Menurut kenyataan KUPU SB, ahli-ahli yang dinaikkan pangkat terdiri daripada enam yang dinaikkan pangkat kepada staf sarjan, dua kepada sarjan, tujuh kepada koperal dan enam dinaikkan pangkat kepada lans koperal.
Ahli-ahli yang disokong bagi kenaikan pangkat berkenaan telah dinilai mengikut kriteria-kriteria utama termasuk semangat berpasukan, kelakuan am, inisiatif, kegigihan, keperibadian, kekuatan jasmani, kebijaksanaan dan prestasi akademik.
Acara berkenaan merupakan satu wadah bagi menghargai dan mengiktiraf keterlibatan aktif serta komitmen para ahli yang cemerlang dalam semua program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak KUPU SB dan pihak pentadbiran ASMDB.
Kadet tentera KUPU SB merupakan salah satu pasukan beruniform di bawah program pengembangan potensi, Kokurikulum KUPU SB yang dikendalikan oleh Pusat Ilmu Teras.
Penubuhannya dihasratkan agar dapat melahirkan belia-belia negara yang seimbang dengan kemahiran-kemahiran dan ilmu pengetahuan duniawi serta ukhrawi dari pelbagai aspek dan bidang ke arah mencorak belia KUPU SB yang mempunyai ketahanan jati diri dari segi mental, fizikal dan emosi dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan serta sentiasa berada dalam landasan keimanan, ketakwaan yang terzahir dalam setiap perbuatan dan percakapan bagi meraih keredaan Allah SWT.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai tadbir, para jurulatih kadet tentera, pegawai dan kakitangan KUPU SB.