BEIJING, 23 MEI – Seramai 21 orang terbunuh selepas hujan batu dan angin kencang menimpa peserta yang mengambil bahagian dalam acara perlumbaan 100 kilometer merentas gunung di China, lapor Xinhua hari ini.
“Cuaca ekstrem melanda daerah itu ketika perlumbaan diadakan di Hutan Yellow River Stone berhampiran Bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu, kata Xinhua, sambil menambah lebih 700 penyelamat dikerahkan untuk mencari peserta yang hilang.
“Menurut ibu pejabat pasukan penyelamat, sekitar jam 1 pagi semalam, hujan batu dan angin kencang melanda kawasan perlumbaan pada ketinggian antara 20 hingga 31 kilometer,” lapor agensi itu.
“Peserta mengalami ketidakselesaan fizikal dan penurunan suhu mendadak secara tiba-tiba. Sebilangan peserta hilang dan perlumbaan dihentikan,” katanya
Suhu di kawasan pergunungan turun mendadak berbanding semalam, lapor Xinhua, menjadikan usaha pencarian dan menyelamat lebih sukar.
“Sehingga jam 3 pagi tadi, seramai 151 peserta disahkan selamat dengan lima daripadanya cedera ringan sudah dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Xinhua memaklumkan, seramai 172 peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.
Akhbar People’s Daily pula melaporkan, angka korban lebih sedikit iaitu 15 orang dengan enam masih hilang.
Gansu, satu daripada wilayah termiskin di China, bersempadan dengan Mongolia di utara dan Xinjiang di barat.
Kejadian banjir dan tanah runtuh yang dahsyat pernah melanda wilayah itu sebelum ini dengan tanah runtuh mengorbankan lebih 1,000 orang di satu bandar pada tahun 2010. Kawasan itu juga terdedah kepada gempa bumi. – AFP/AP
