MANILA, Filipina, 15 Ogos – Operasi serentak antidadah di sebuah wilayah utara telah mengakibatkan kematian 21 orang pesalah dadah, menurut polis hari ini.
Mereka menyifatkan angka kematian itu yang tertinggi dalam tempoh sehari, sejak Presiden Rodrigo Duterte melancarkan ‘perangnya ke atas dadah’ dalam bulan Julai tahun lalu.
Superintenden Kanan Romeo M Caramat Jr berkata operasi-operasi di pelbagai bahagian di wilayah Bulacan dalam tempoh 24 jam lalu telah mengorbankan 21 orang dan 64 orang lagi diberkas.
Menurut polis suspek-suspek telah memberikan tekanan bersenjata ke atas pegawai-pegawai polis yang menangkap mereka.
Caramat berkata polis telah merampas 21 senjata api dan lebih 100 gram methamphetamine, yang lebih dikenali di Filipina sebagai syabu, bernilai 500,000 peso.
Wang tunai dan pelbagai perlengkapan dadah juga ditemui.
Rekod polis menunjukkan sejak tindakan itu bermula, 3,264 orang yang disyaki pesalah dadah telah terbunuh dalam pertempuran bersenjata dengan pihak penguat kuasa undang-undang.
Lebih dari 2,000 orang lagi mati dalam homisid berkaitan dadah, termasuklah serangan lelaki-lelaki bersenjata bertopeng bermotosikal dan serangan lain. Kumpulan hak asasi kemanusiaan melaporkan angka lebih tinggi dan menuntut siasatan bebas ke atas kemungkinan peranan Duterte dalam keganasan itu. – AP