Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    21 maut kereta api tergelincir

    TEHRAN, 8 JUN – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah kereta api tergelincir berhampiran bandar Tabas di Iran, selepas merempuh mesin pengorek, menurut laporan media kerajaan.

    “Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dan 87 lagi mengalami kecederaan serta dipindahkan ke hospital,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Mojtaba Khaledi.

    “Angka korban mungkin meningkat di mana kebanyakan mangsa yang tercedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya, menambah, “Sebanyak 24 buah ambulan dan tiga buah helikopter telah dikerahkan ke tempat kejadian.”

    Tabas terletak di bahagian selatan wilayah Khorasan, kira-kira 900 kilometer dari Tehran.

    Menurut timbalan ketua pengangkutan kereta api yang dimiliki oleh kerajaan, Mir Hassan Moussavi, kereta api itu membawa 348 orang penumpang.

    Anggota bulan sabit merah Iran berusaha menyelamatkan mangsa selepas sebuah kereta api tergelincir di bandar Tabas, Iran, kelmarin. – AP

    “Kereta api itu tergelincir selepas merempuh mesin pengorek” yang berada berhampiran landasan kereta api, tambahnya.

    Gambar yang dimuat naik oleh agensi berita ISNA menunjukkan pasukan penyelamat memeriksa gerabak kereta api yang terbalik dan orang ramai berkumpul berhampiran tempat kejadian.

    Sebuah gambar yang dimuat naik menunjukkan sebuah mesin pengorek berwarna kuning berada di bahagian tepi landasan itu.

    Lima daripada 11 buah gerabak kereta api itu tergelincir pada pukul 5:30 am (0100GMT), menurut ketua operasi kecemasan bulan sabit merah Iran, Mehdi Valipour.

    Pendakwa raya Tabas mengadakan lawatan ke tempat kejadian dan siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan, menurut laporan media Iran.

    Kejadian kereta api tergelincir berlaku selepas sebuah menara runtuh di barat daya Iran bulan lalu yang meragut sekurang-kurangnya 43 jiwa. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...