21 pegawai polis dinaikkan pangkat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 21 orang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dinaikkan dan ditetapkan pangkat masing-masing yang berkuat kuasa 15 Julai 2020.

Sehubungan itu, majlis bagi meraikan kenaikan pangkat pegawai-pegawai berkenaan telah berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, pengarah-pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB serta ahli keluarga anggota polis yang diraikan.

Pegawai yang diraikan terdiri daripada 11 orang pegawai yang dinaikkan pangkat sebagai penolong penguasa polis, dua orang pegawai dinaikkan pangkat sebagai ketua inspektor polis dan lapan orang pegawai dinaikkan pangkat sebagai inspektor kanan polis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.

Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan memasangkan tanda pangkat kepada salah seorang pegawai yang dinaikkan pangkat.
Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bergambar ramai bersama para pegawai PPDB yang dinaikkan pangkat pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis, Gadong, kelmarin.