Friday, October 4, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 pelajar IBTE terima biasiswa Hengyi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Seramai 21 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah dianugerahkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama antara Hengyi Industries Sdn Bhd, IBTE, dan Lanzhou Petrochemical University of Vocational Technology (LPUVT).

    Sehubungan itu, majlis penandatanganan biasiswa berkenaan telah diadakan hari ini di Hengyi Industries di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Eksekutif
    Hengyi Industries, Chen Lian Cai, dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli selaku saksi-saksi penandatanganan berkenaan.

    Menurut Hengyi Industries, para pelajar berkenaan merupakan kumpulan kelima yang menerima biasiswa di bawah program biasiswa bersama berkenaan.

    Ditubuhkan pada 2018, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif sedia masa depan Hengyi dengan tujuan memperkasakan bakat tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan dalam industri
    petrokimia.

    Program menawarkan kursus diploma tiga tahun dalam Refinery Operator, dengan satu tahun pengajian akademik di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, satu tahun pengajian dengan
    LPUVT di Lanzhou, dan satu tahun latihan industri (on-the-job) dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar.

    Setelah tamat pengajian, mereka dijangka menyertai Hengyi Industries dan memulakan kerjaya mereka dalam industri petrokimia.

    Sehingga hari ini, seramai 142 orang pelajar telah dianugerahkan biasiswa di bawah program berkenaan dan 47 pelajar telah memulakan kerjaya mereka sebagai pengendali penapisan dengan Hengyi Industries selepas menamatkan pengajian.

    Chen Lian Cai dan Dr Haji Mohd Zamri menyaksikan para pelajar menandatangani perjanjian biasiswa. – Gambar serahan Hengyi Industries
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda