21 pelajar terhidu gas dirawat

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Seramai 21 pelajar dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, sejak semalam, selepas terhidu gas dipercayai metana yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata sembilan daripada pelajar itu adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih manakala 12 lagi adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Pasir Gudang.

“Dua daripada 12 pelajar SMK Pasir Putih, kedua-duanya perempuan, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kesemua mangsa berkenaan di HSI, hari ini, dengan diiringi Timbalan Pengarah Perubatan II HSI Dr Surya Masrom.

Teo berkata selain 21 pelajar tersebut, terdapat dua mangsa lain melibatkan warga sekolah turut dirawat di hospital sama, iaitu seorang pengusaha kantin yang dirawat di ICU dan seorang guru sejarah yang dirawat di wad biasa. – Bernama