21 pendatang terkandas di Selat

LILLE, PERANCIS, 12 JULAI – Perkhidmatan penyelamat Perancis berjaya menyelamatkan 21 pendatang dalam tiga operasi semalam selepas usaha mereka untuk sampai ke Britain berdepan masalah di Selat, kata pegawai.

Percubaan untuk menyeberangi Selat telah meningkat sejak akhir 2018 meskipun risiko lalu lintas maritim yang sibuk, arus kuat dan suhu air rendah.

Empat orang yang mengalami hipotermia teruk diselamatkan dari perairan sejurus selepas tengah malam semalam selepas kapal mereka tenggelam kira-kira dua kilometer dari pantai, kata pegawai maritim. Sejam kemudian, 13 pendatang dalam bot boleh kembung diselamatkan ketika mereka terapung-apung di utara Calais, dan akhirnya empat lagi diselamatkan dari kayak oleh pengawal berhampiran selat perkapalan.

Pada 2019, 2,758 pendatang diselamatkan oleh pihak berkuasa Perancis dan Britain ketika cuba menyeberangi selat, empat kali lebih tinggi berbanding 2018, menurut pegawai Perancis. – AFP