Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seramai 52 orang qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan mereka dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Seramai 21 orang peserta terdiri daripada 17 qari dan empat qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari pertama, hari ini.
Hadir selaku tetamu khas pada sebelah pagi ialah Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail dan pada sebelah petang ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Para peserta bagi peringkat saringan berkenaan merangkumi 32 orang peserta (27 qari dan lima qariah) yang terpilih melalui peringkat saringan, dan sembilan peserta (lima qari dan empat qariah) merupakan peserta menunggu daripada musabaqah tahun lepas.
Seramai 11 orang (10 qari dan seorang qariah) pula ialah peserta yang mendapat markah 80 peratus ke atas tiga tahun berturut-turut di peringkat separuh akhir kebangsaan, johan qari peringkat akhir kebangsaan Tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi, dan johan qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1444 Hijrah/2023
Masihi.
Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi akan diadakan pada 9 November ini.
Musabaqah merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Penganjurannya dihasratkan dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.
Orang ramai bolehlah mengikuti siaran langsung musabaqah berkenaan melalui laman Facebook rasmi KHEU.
