21 petani diikat jamin dalam kes perebutan tanah

SINTGAING, Myanmar, 10 Jan – Seramai 21 orang petani telah diberikan ikat jamin oleh mahkamah Myanmar hari ini selepas dipenjara berhubung pertikaian rampasan tanah bersama pihak tentera yang memperlihatkan cabaran teruk dihadapi oleh penduduk miskin luar bandar.

Hak pemilikan tanah adalah salah satu isu paling menimbulkan perbalahan di negara yang pernah diperintah junta, yang mana tentera dituduh melakukan perampasan tanah secara berleluasa ketika pemerintahannya selama 50 tahun.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan reformasi demokrasi dan berakhirnya sekatan Barat telah mencetuskan perebutan wilayah dan menimbulkan kegelabahan konflik lama.

Kes terbaru melibatkan tanah seluas kira-kira 70 ekar yang menurut 24 orang petani itu telah dirampas dari mereka oleh unit keselamatan tentera pada tahun 2001 dengan sedikit pampasan.

Selama bertahun-tahun para petani terus menanam tanaman mereka tanpa diganggu, tetapi pada Ogos tahun lalu pihak tentera cuba memasang pagar tanah yang dirampas itu.

Para petani yang ditahan melihat dari sel tahanan di bilik mahkamah di Sintgaing di rantau Mandalay pada 10 Januari. – AFP
Para petani yang ditahan melihat dari sel tahanan di bilik mahkamah di Sintgaing di rantau Mandalay pada 10 Januari. – AFP

Apabila para petani membantah pada minggu lalu mereka telah diberkas, didakwa menceroboh dan memusnahkan harta benda dan dihantar ke penjara Mandalay, Penjara Obo.

Seramai 16 daripada mereka yang ditahan itu adalah wanita, menurut anggota keluarga, termasuk seorang yang dibawa ke penjara bersama anak damitnya berusia enam bulan.

Tiga daripada 24 petani itu telah dibebaskan awal kerana mereka berdepan dakwaan berlainan, kata peguam mereka, San Nyunt Wai.

“Semua petani telah diikat jamin hari ini,” ujarnya kepada AFP, menambah bahawa mereka akan dibicarakan lagi pada 17 Januari.

Kebanyakan perampasan tanah di Myanmar berlaku sejak 1990-an dan awal 2000-an, apabila negara menjalani peralihan tidak menentu dari jenama sosialismenya sendiri dari kawal junta kepada model yang lebih dijana pasaran. – AFP