21 rumah Yayasan siap April ini

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Pembinaan sebanyak 21 buah rumah di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mula dilaksanakan setelah majlis peletakan batu asas bagi rumah-rumah berkenaan dirasmikan pagi ini.

Hadir merasmikan peletakan batu asas itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga
Pengarah Yayasan dan pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan dan ahli-ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan, para pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkenaan serta dari Yayasan.

Acara bermula di tapak tanah bagi salah seorang penerima bantuan perumahan Yayasan iaitu Dayang Siti Asmah binti Abdul Kadir di Kampung Katimahar, Jalan Lugu.

Rumah bantuan tersebut adalah bagi menyediakan rumah yang selesa dan sempurna untuk kesemua penerima serta keluarga terutama rakyat yang kurang berkemampuan dan mempunyai keadaan tempat tinggal yang daif dan tidak selamat untuk didiami.

Selain itu, ia juga dihasratkan bagi memberi para penerima peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan terutama menjelangnya Hari Raya nanti.

Projek pembinaan rumah tersebut iaitu 11 buah di Daerah Brunei dan Muara manakala 10 lagi di Daerah Tutong akan dibina oleh Syarikat Noracon Sdn Bhd dengan konsep, reka bentuk lebih moden dan setara teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah dan dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangka masa pendek iaitu bulan April tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan ketika merasmikan Majlis Peletakan Tiang Batu Asas Rumah-rumah Bantuan bagi Pembinaan 21 Buah Rumah Bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – Gambar oleh Rokiah Mahmud
Pemandangan sekitar tapak rumah yang bakal didirikan.