21 selamat daripada bangunan runtuh

ISTANBUL, 10 NOV – Seramai 21 orang terselamat selepas tertimbus di bawah runtuhan apabila bangunan dua tingkat roboh di timur Turki, menurut kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan, dengan tiada korban jiwa dilaporkan ketika operasi mencari dihentikan awal hari ini.

Kejadian berlaku petang kelmarin di sebuah jalan yang sibuk di bandar Malatya, ketika penduduk memenuhi kedai semasa dalam perjalanan pulang dari kerja. “Operasi mencari dan menyelamat bawah runtuhan bangunan di Malatya berakhir. Kami bersyukur tiada korban jiwa,” kata Menteri Dalam Negeri, Suleyman Solyu menerusi Twitternya hari ini.

Terdahulu, jurucakap menteri dalam negeri, Ismail Catakli berkata petugas penyelamat berjaya mengeluarkan 13 orang daripada runtuhan, sementara lapan lagi berjaya keluar tanpa bantuan.

Lima daripada yang diselamatkan masih berada di hospital, namun kecederaan mereka tidak mengancam nyawa, menurut gabenor rantau Aydin Barus. Dia memaklumkan dua daripadanya berada dalam unit rawatan rapi.

Rakaman CCTV menunjukkan bangunan tersebut runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan debu tebal. Kereta yang diletakkan di hadapan bangunan segera dipindahkan sementara mereka yang melalui jalan tersebut segera menghulurkan bantuan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Para saksi dan media melaporkan bangunan runtuh semasa kerja-kerja pengubahsuaian yang dirancang dan menyebabkan kerosakan ke atas salah satu bahagian di dinding.

“Saya terdengar bunyi retakan dan kemudian bangunan runtuh serta mengakibatkan debu tebal,” menurut saksi, Turhan Cobanoglu memberitahu televisyen HaberTurk.

Agensi pengurusan bencana dan kecemasan berkata 260 petugas penyelamat dikerah ke tempat kejadian, dan kerja-kerja menyelamat diteruskan sehingga waktu malam. – AFP

Pasukan penyelamat semasa berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di bandar Malatya, kelmarin. – AFP