210 Rekrut ABDB tamat latihan

Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

TUTONG, 20 NOV – Seramai 210 anggota rekrut lelaki pengambilan ke-166 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menamatkan latihan asas ketenteraan dan diraikan pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang diadakan di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison, hari ini

Pegawai Menerima Tabik Hormat bagi upacara itu ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut yang juga telah menyampaikan anugerah kepada jurulatih-jurulatih dan rekrut-rekrut yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan rekrut dijalankan.

Penerima-penerima anugerah tersebut ialah 17077 Sarjan Mahdini bin Osli bagi Platun Sarjan Terbaik; 16313 Koperal Mohd Waridi bin Zainal Abidin bagi Jurulatih Terbaik; 53762 Rekrut (U) Syukurizam bin Hailulizam bagi Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan; 53667 Rekrut Muhd Hazrul Hazwan bin Asnan bagi Penembak Senjata Ringan Rekrut Terbaik; 53643 Rekrut Awang Mohd Ihsanudin bin Haji Abdul Hakim bagi Latihan Jasmani Terbaik dan 53637 Rekrut Abdul Azim Syafi’i bin Dullah bagi Kemahiran Tentera Terbaik.

Turut hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, para pengarah, komandan, pegawai dan anggota ABDB serta ibu bapa dan keluarga rekrut yang diraikan.

Awang Salminan menyampaikan anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan kepada 53762 Rekrut (U) Syukurizam.
Rekrut-rekrut lelaki pengambilan ke-166 ketika perbarisan berkenaan.