Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    215 pelajar, 187 guru dihargai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Seramai 215 pelajar dan 187 guru diraikan pada Majlis Penghargaan Pelajar-pelajar dan Guru-guru Cemerlang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi tahun 1443 Hijrah dan 2021 Masihi yang berlangsung di Dewan Bankuet BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat.

    Majlis penghargaan itu bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah dan institusi-institusi di bawah kawalan KHEU yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam dan diselajurkan dengan penghargaan kepada guru-guru yang mencapai kecemerlangan hasil penilaian di bawah Jabatan Pengajian Islam.

    Pengiktirafan kepada para pelajar diraikan dihasratkan dapat menyuntik semangat pelajar lain dalam meraih kecemerlangan dalam pembelajaran dan sebagai pemangkin dan inspirasi guru-guru untuk memberi perkhidmatan pendidikan yang berkualiti, lebih dedikasi, kreatif dan inovatif dalam melahirkan anak bangsa yang cemerlang bukan sahaja dalam ilmu duniawi malah ukhrawi.

    Pada majlis itu, Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar semasa menyampaikan ucapannya turut memaklumkan selain pelajar dan guru menerima anugerah tersebut, dua buah sekolah Arab turut sama menerima Anugerah Madarasah Mutaqaddimah.

    Salah seorang pelajar menerima anugerah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang penaja.
    Dayangku Nur ‘Adlina Qistina semasa ditemu bual pada majlis itu.

    Penganugerahan itu, katanya, adalah atas pencapaian tertinggi bagi kedua-dua buah sekolah berkenaan di bawah kawalan KHEU dalam Penilaian Keseluruhan Sekolah (WSE) yang menumpu pada empat domain utama iaitu kepimpinan dan pengurusan; pembelajaran dan pengajaran; etos dan persekitaran; dan hasil pembelajaran.

    Melalui penilaian WSE itu, ujarnya lagi, ia dihasratkan akan dapat menjana dan menjamin penyediaan pendidikan agama berkualiti dan tadbir urus persekolahan yang berkesan.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar dipimpin oleh pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Azim bin Haji Baha.

    Ia kemudian diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, persembahan puisidra gabungan dari tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris daripada para pelajar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Sekolah Ugama Dato Othman.

    Majlis disusuli dengan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Madrasah Mutaqaddimah oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan bacaan doa.

    Salah seorang pelajar cemerlang, Awang Muhammad ‘Afa bin Amir, Pelajar Pra U 1, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) semasa ditemu bual menyatakan ucapan ribuan terima kasih atas sokongan yang diberikan daripada ibu bapa dan para guru yang selama ini tidak jemu mendidik untuk memberikan yang terbaik.

    “Insya-Allah jika diberikan kesempatan, saya ingin melanjutkan pembelajaran ke peringkat selanjutnya dan bercita-cita memasuki UNISSA jurusan Bahasa Arab,” ujarnya.

    Sementara itu, menurut Dayangku Nur ‘Adlina Qistina binti Pengiran Mohamad Aminuddin dari SMALHB berkata, kunci kejayaan ialah fokus belajar, melaksanakan tugasan yang diberikan dan berusaha lebih gigih.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...