219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah di Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 JAN – Sebanyak 16 kluster COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi telah dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron. 

Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

“Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi. 

“Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini. – Bernama