2,192 karton rokok dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Sejumlah 2,192 karton rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dirampas oleh anggota yang bertugas di kawasan Pos Polis Bebuloh, Balai Polis Limau Manis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PBD) semasa satu pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang mencurigakan.

Kejadian itu terbongkar apabila anggota polis yang sedang membuat rondaan telah memerhatikan sebuah kereta yang mencurigakan cuba keluar dari laluan pos kawalan.
Menyedari akan kehadiran anggota polis, pemandu kereta iaitu suspek telah mengambil tindakan dengan mengundurkan kereta berkenaan lalu hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam kawasan longkang.

Semasa ditahan, suspek, Abdullah bin Hj Garib, warga tempatan berusia 42 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan, turut ditemui sejumlah kotak yang berisi di dalamnya pelbagai jenis karton rokok yang merupakan barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini.

Suspek berserta kenderaan dan barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Limau Manis dan peralihan siasatan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan
Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.