22 banduan maut dalam rusuhan penjara

QUITO, 23 JULAI – Sekurang-kurangnya 22 banduan terbunuh dan 57 lagi cedera dalam rusuhan di dua penjara di Ecuador kelmarin, menurut Pejabat Peguam Negara.

Kejadian berlaku di penjara wilayah Guayas dan Cotopaxi, di mana pasukan keselamatan dan pengawal penjara dibantu polis elit berjaya mengawal keadaan beberapa jam kemudian, menurut Xinhua.

Pejabat Peguam Negara, menerusi akaun Twitter rasmi semalam, berkata pihaknya sedang mengumpul bukti dan menjalankan siasatan terhadap rusuhan kelmarin di penjara Guayaquil, ibu kota wilayah Guayas.

“Berdasarkan laporan setakat ini, lapan banduan terbunuh dan tiga anggota polis cedera manakala di penjara Cotopaxi, 13 mayat dihantar ke Pusat Forensik Ambato,” katanya.

Polis tempatan, menerusi Twitter, berkata pihaknya melakukan operasi bersama unit pencegahan, penyiasatan dan perisikan bagi mengesan banduan yang lolos dari penjara Cotopaxi, yang mana 78 berjaya ditahan semula.

Gabenor Cotopaxi, Oswaldo Coronel, berkata senjata berat dan bahan letupan digunakan ketika rusuhan, yang menyebabkan kerosakan besar di dalam penjara itu.

Kejadian itu adalah rusuhan penjara kedua terbesar di Amerika Selatan tahun ini, selepas yang pertama pada Februari lalu menyaksikan 79 banduan di tiga buah penjara maut manakala beberapa lagi cedera, termasuk pegawai polis. – AFP

Anggota keselamatan tiba di Pusat Tahanan Litoal selepas pertempuran dalam penjara di Guayaquil, Ecuador kelmarin. – AP