22 cedera kebakaran kapal tangki minyak

MEDAN, 11 MEI – Sekurang-kurangnya 22 orang cedera apabila sebuah kapal tangki minyak mentah terbakar di sebuah pelabuhan paling sibuk di Indonesia hari ini, dengan penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mereka yang berada di dalam kapal tersebut, kata pegawai.

Dua letupan kedengaran sejurus selepas kebakaran di kapal Jag Leela berukuran 250 meter panjang, dengan asap hitam tebal kelihatan berkepul-kepul di udara.

Penyelamat di atas sebuah lagi kapal bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kapal pendaftaran Indonesia yang berlabuh untuk kerja-kerja pembaikan di pelabuhan Belawan, Utara Sumatera.

Kakitangan kecemasan mengejarkan 22 orang pelaut yang cedera ke hospital, dengan berpuluh-puluh lagi dikatakan terperangkap dalam kapal tangki minyak itu, kata ketua polis tempatan, Dayan.

Punca letupan dan kebakaran masih lagi disiasat, tambahnya. – AFP

Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran di kapal tangki minyak yang berlabuh di Belawan, 11 Mei. Seramai 22 orang cedera dalam kejadian itu. – AFP