Friday, April 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 hari tanpa kes baharu, patuhi garis pandu Aidilfitri

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) sekali lagi mengingatkan orang ramai agar mematuhi Garis Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    “Dalam meraikan suasana Hari Raya tahun ini, Hari Raya disambut bersama ahli keluarga terdekat sahaja dan garis panduan perkumpulan ramai perlu dipatuhi iaitu mengehadkan kepada 20 hingga 30 orang sahaja pada satu masa tertakluk kepada kesesuaian keluasan rumah,” tegas Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan agar orang ramai tetap mengamalkan langkah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada di mana sahaja berada dengan mempraktikkan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan tangan serta etika batuk dan bersin yang betul.

    Pada sidang media itu juga, Yang Berhormat Dato telah mengongsikan bahawa sudah 22 hari negara bebas tanpa kes jangkitan COVID-19 baharu dengan mengekalkan jumlah keseluruhan kes seramai 141 orang, manakala jumlah kes yang telah sembuh seramai 138 orang.

    “Pada masa ini, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

    “Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan,” jelasnya.

    Beliau mengatakan dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 255 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 18,962 ujian.

    Berhubung dengan aplikasi BruHealth, beliau menjelaskan bahawa setakat ini sejumlah 242,827 orang ramai telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut.

    “Di samping itu juga, sejumlah 4,100 syarikat dan premis telah mendaftar kepada aplikasi tersebut.

    “Dengan ini, orang ramai yang belum mendaftar, disyorkan untuk memuat turun dan mendaftar ke aplikasi BruHealth tersebut,” tambahnya lagi.

    Yang Berhormat Dato juga mengingatkan kerjasama orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth serta mengimbas kod QR di tempat keluar masuk premis akan sedikit sebanyak memastikan keselamatan orang ramai termasuk penjual dan pelanggan terjamin serta akan memudahkan Kementerian Kesihatan untuk membuat pengesanan kontak sekiranya ada penularan jangkitan berlaku.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda