22 juta rakyat Afghanistan berdepan krisis makanan akut

KABUL, 25 OKT – Afghanistan kini di ambang krisis kemanusiaan paling teruk di dunia, dengan lebih separuh daripada penduduk negara itu bakal mengalami kekurangan makanan ‘akut,’ agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hari ini.

Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, David Beasley mengatakan lebih 22 juta rakyat Afghanistan bakal berdepan krisis makanan akut itu pada musim sejuk ini kerana ketidakstabilan politik.

“Musim sejuk ini, berjuta-juta rakyat Afghanistan akan terpaksa memilih antara migrasi dan kebuluran, melainkan kami dapat meningkatkan bantuan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Menurutnya, krisis itu sudah berskala lebih besar berbanding apa yang di-hadapi Yaman atau Syria dan lebih teruk daripada keadaan kecemasan makanan tidak terjamin yang dialami Republik Demokratik Congo.

“Afghanistan adalah antara negara yang mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia. Jika tidak terburuk sekalipun, keselamatan makanannya sudah runtuh,” kata Beasley dalam kenyataan.

Seorang kanak-kanak memegang jagung di sebuah ladang di daerah Panjwai, Afghanistan. Afghanistan berdepan krisis kemanusiaan teruk dengan separuh penduduk negara itu berdepan kekurangan makanan akut menjelang musim sejuk, kata agensi PBB. – AFP

Katanya, negara itu sedang menghadapi bencana dan jika pihaknya tidak bertindak sekarang, Afghanistan akan mengalami bencana sepenuhnya.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh WFP dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, seorang daripada dua warga Afghanistan menghadapi ‘krisis’ Fasa 3 atau kekurangan makanan ‘darurat Tahap 4’.

Fasa 4 adalah satu tahap di bawah kelaparan, yang mana mereka sudah bergelut selama 20 tahun dan akan menghadapi musim sejuk terburuk dalam satu dekad. Ogos lalu, Taliban menggulingkan rejim yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan mengisytiharkan kerajaan sementara, berikrar untuk memulihkan kestabilan ekonomi.

Bagaimanapun, Taliban masih menghadapi sekatan antarabangsa serta kempen serangan berdarah oleh pesaingnya iaitu kumpulan Daesh, sementara perubahan iklim mengakibatkan Afghanistan kerap dilanda kemarau yang teruk.

Di barat negara itu, ribuan keluarga miskin menjual ternakan mereka dan melarikan diri, mencari perlindungan dan bantuan di kem sementara penuh sesak berhampiran bandar besar.

Ketika ditanya mengenai krisis kemanusiaan, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menyatakan, pihaknya berusaha mengeluarkan rakyat Afghanistan daripada situasi semasa dan membantu mereka, sementara bantuan kemanusiaan global juga sudah tiba.

“Kami sedang berusaha mengatur dan mengagihkan termasuk makanan dan pakaian. Segala kebimbangan akan selesai,” ikrarnya. – AFP