22 maut bantah kerajaan di Sudan

KHARTOUM, 10 Jan – Bantahan anti-kerajaan yang menggegarkan Sudan telah menyebabkan 22 orang terkorban, menurut pihak berkuasa pada hari ini, setelah tiga penunjuk perasaan dilaporkan meninggal dunia sebelum ini.

Selain itu, beribu-ribu penduduk pula bersorak untuk Presiden Omar Al-Bashir pada perhimpunan lain bagi menyokong Bashir di Khartoum.

Persaingan perhimpunan di ibu negara Sudan itu berlaku susulan beberapa tunjuk perasaan mengenai keputusan kerajaan untuk menaikkan harga roti tiga kali ganda ketika negara itu menghadapi kekurangan penukaran mata wang asing dan inflasi yang melambung tinggi.

Penunjuk perasaan yang melaungkan ‘Kebebasan, Keamanan, Keadilan’ dan ‘Revolusi adalah pilihan rakyat’ ketika menyekat jalan utama di Omdurman, kota kembar Khartoum, tetapi dengan cepat dileraikan dengan gas pemedih mata oleh polis rusuhan, menurut saksi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, polis mengesahkan bahawa tiga penunjuk perasaan telah meninggal dunia dalam protes anti-kerajaan di Omdurman tetapi tidak menjelaskan bagaimana mereka terkorban.

Para penyokong Presiden Sudan, Omar Al-Bashir ketika mengadakan perhimpunan di Green Square di bandar Khartoum pada 9 Januari 2019. – AFP

“Perhimpunan haram diadakan di Omdurman dan polis menyuraikan penunjuk perasaan dengan melepaskan gas pemedih mata,” kata jurucakap polis, Hashim Abdelrahim dalam satu kenyataan.

“Polis kemudian menerima laporan tiga penunjuk perasaan meninggal dunia dan beberapa lagi cedera. Kami menyiasat kejadian ini,” katanya.

Jumlah itu meningkat kepada 22 orang setakat ini termasuk dua anggota keselamatan, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Lewat kelmarin, seorang doktor berkata enam penunjuk perasaan telah dirawat di hospital utama Omdurman akibat terkena tembakan.

Sementara itu, beribu-ribu penyokong kerajaan mengadakan perhimpunan kelmarin di ibu negara itu untuk memberikan sorakan kepada Bashir, yang mana para penganalisis berkata menghadapi siri cabaran paling berat terhadap rejimnya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan dalam rampasan kuasa pada tahun 1989.

Parti pembangkang Parti Umma Kebangsaan menggesa para doktor untuk membantu mereka yang cedera, juga mengatakan beberapa orang yang mengikuti perhimpunan anti-Bashir ditembak dengan peluru. – AFP