Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    22 maut dirempuh

    MUMBAI, 29 Sept – Kejadian rempuhan pejalan kaki di jambatan landasan kereta api Mumbai pada kesibukan waktu pagi hari ini telah mengorbankan kira-kira 22 orang, menurut para pegawai.

    Berbelas-belas orang berlindung di jambatan itu ketika hujan monsun yang tiba-tiba turun dan rempuhan maut bermula apabila mereka kesemuanya muncul sekali gus, menurut jurucakap Indian Railways.

    Avinash Supe dekan Hospital KEM, memberitahu AFP bahawa terdapat 22 kematian.

    “Terlalu ramai orang berada di jambatan pejalan kaki. Semua orang cuba untuk meninggalkan tempat itu dalam sekali gus dan nampaknya salah seorang dari mereka tergelincir dan terjatuh, yang mengakibatkan rempuhan,” Saxena memberitahu para pemberita.

    Jambatan itu menghubungkan stesen Elphinstone dan Parel di selatan Mumbai.

    Kakitangan penyelamat India berada di kawasan kejadian rempuhan di jambatan landasan kereta api di Mumbai pada 29 September. – AFP

    Angka kematian mungkin meningkat seterusnya, jurucakap unit pengurusan bencana memberi amaran.

    “Itulah pada ketika waktu sibuk namun kejadian rempuhan berjaya dikawal,” Tanaji Kamble memberitahu AFP.

    Siaran di televisyen memperlihatkan mereka yang berulang alik cuba memberi bantuan kecemasan kepada mereka yang tercedera dan juga membawa beberapa orang menuruni anak tangga ke aras jalan raya.

    “Kami meletakkan semua orang yang tercedera di dalam kereta, van polis dan ambulans dan cuba membawa mereka ke hospital secepat mungkin,” kata seorang saksi.

    “Terdapat tiga hingga empat orang wanita yang cedera teruk. Saya tidak tahu sama ada mereka terselamat.”

    Kereta api tempatan adalah perhubungan bagi 20 juta orang penduduk Mumbai. Kira-kira 7.5 juta orang yang ulang-alik mengikuti perkhidmatan kereta api setiap hari, dengan mengikut purata perkhidmatan berjalan setiap tiga minit.

    Beratus-ratus orang terbunuh setiap tahun disebabkan terlepas pegangan pada pintu, terjatuh ketika cuba memasuki kompartmen yang penuh sesak, terkena tiang elektrik di luar atau melakukan lagak ngeri ketika berpaut pada kereta api.

    Perangkaan rasmi mengatakan kira-kira 3,400 orang mati dalam tahun 2016 sama ada akibat terjatuh dari kereta api atau ketika menyeberangi landasan di rangkaian kereta api pinggir bandar yang paling penuh sesak di dunia.

    Kejadian rempuhan di festival-festival keagamaan India juga sering berlaku dengan polis dan pelayan sukarela kerap ditenggelami oleh orang ramai yang amat padat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda