22 penunggang motosikal besar gegarkan Pan Borneo

KUCHING, 14 Mac – Lebuh Raya Pan Borneo akan digegarkan oleh 22 penunggang motosikal  besar berkuasa tinggi daripada FS Adventure dalam pengembaraan dari Kuching ke Kota Kinabalu selama 10 hari bermula hari ini.

Pengembaraan itu akan meliputi jarak sejauh 2,862 kilometer (km) termasuk menyusuri sektor bukan lebuh raya dari Lawas ke Mararap sejauh 142 km.

Sepanjang perjalanan itu mereka akan menempuh Kuching, Sibu, Miri, Brunei, Mararap, Keningau, Tawau, Sandakan, Taman Kinabalu dan Kudat sebelum destinasi terakhir di Kota Kinabalu.

Para penunggang terdiri daripada 18 orang dari Semenanjung Malaysia, Jerman (dua) dan masing-masing seorang dari Belgium dan Taiwan. Mereka di jangka berlepas pulang pada 24 Mac.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir di Kuching Waterfront di sini untuk melepaskan peserta sebagai tanda bermulanya pengembaraan 10 hari mereka.

“Saya berharap menerusi pengembaraan ini para penunggang akan dapat melihat apa yang telah dilakukan di Sarawak di mana kita sedang membina serta menambah baik lebuh raya untuk perhubungan yang lebih baik,” katanya sebelum melepaskan peserta.

Para penunggang dijangka menemui Sarawak dalam bahagian pertama perjalanan itu menerusi pengalaman budaya yang  pelbagai, makanan dan limpahan alam semula jadi yang disifatkan sebagai pengembaraan yang terindah. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) hadir merasmikan pelepasan penunggang motosikal yang akan mengadakan pengembaraan 10 hari melalui Pan Borneo dari Sarawak ke Sabah. – Bernama