Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada seramai 224 orang graduan pada Majlis Konvokesyen ke-11 KUPU SB.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut menjunjung keberangkatan Baginda ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Seterusnya, perarakan keberangkatan Canselor KUPU SB didahului dengan mushaf Al-Quran yang dijunjung masuk oleh Pengiran Haji Amirul Amin bin Pengiran Haji Jamaluddin ke dalam dewan.
Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan bacaan Surah Aali-‘Imran ayat 132 hingga 134 dan Surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 beramai-ramai oleh para graduan Konvokesyen ke-11 KUPU SB.
Sementara itu, inti sari ayat dibacakan oleh mahasiswa Program Sarjana Muda Perguruan Ugama, Abdul Hadi Nasrullah bin Ashraf.
Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Raes KUPU SB yang antara lain menjelaskan bahawa dalam majlis tersebut, KUPU SB berjaya melahirkan graduan pertamanya dalam Program Sarjana Perguruan Ugama Bahasa Arab dan beberapa graduan keluaran pertama dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Bahasa Arab.
Raes KUPU SB seterusnya menambah bahawa dalam usaha mencapai tujuan penubuhannya, mulai tahun lepas KUPU SB telah menawarkan beberapa program baharu antaranya ialah Diploma Pengajian Fiqh Al-Usrah, Diploma Pengajian Jawi dan Kaligrafi Islam, minor Pendidikan Keluarga Muslim dan Program Sarjana Muda Perguruan Ugama secara separuh masa.
“Sepanjang masa negara dalam keadaan pandemik dan endemik ini, KUPU SB berusaha sedaya upaya menjalankan fungsinya dalam meningkatkan pendidikan pelajar, pembangunan masyarakat dan intelektual peringkat antarabangsa sama ada secara maya atau fizikal dan secara hibrid.
“KUPU SB sentiasa membuka ruang seluas-luasnya dalam memberikan bantuan akademik dan kebajikan kepada semua lapisan masyarakat, kementerian, sektor awam dan swasta serta prihatin dengan pembangunan belia dan warga emas.
“Dalam konteks ini setiap fakulti dan pusat memberikan inisiatif yang bersesuaian dengan matlamat dan keperluan awam,” tambah beliau.
Sementara itu, beliau turut mengongsikan bahawa pada 19 Februari depan, KUPU SB akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (Kolej IGS), Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Persatuan Pengurusan Isu Berkaitan Autisme dalam Latihan dan Pendidikan Sumber (SMARTER), Universitas Islam Sumatera Utara (UISU) Indonesia dan Faculty of Teacher Training and Education,
Mulawarman University, Samarinda Indonesia.
Baginda Sultan kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada para graduan mengikut bidang program masing-masing.
Selesai pengurniaan ijazah tersebut, raes KUPU SB menyembahkan penerima-penerima Anugerah Raes dan Hadiah-hadiah Dekan.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.
Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi perguruan agama di Negara Brunei Darusalam, KUPU SB bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin bertakwa, berwibawa, ber-akhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan komited.
Oleh itu, setiap pelajar yang akan menjadi pendidik dipastikan untuk mendapatkan seluruh ilmu, adab dan kemahiran yang diwajibkan bagi memenuhi keperluan abad ini dan sentiasa bersedia dengan segala perubahan dengan memegang kukuh ajaran agama Islam iaitu berpandukan Ahli Sunnah Wal Jama‘ah dan menjaga falsafah negara, Melayu Islam Beraja.