2,240 karton rokok dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Sebanyak 2,240 karton rokok telah ditemukan dalam sebuah van dan pondok berdekatan semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota peronda Balai Polis Bangar sejurus mendapat maklumat daripada orang awam dengan penemuan kotak-kotak besar yang mencurigakan di kawasan bekas ladang ternakan itik di Kampung Puni Daerah Temburong.

Sejurus maklumat diterima, keanggotaan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke lokasi tersebut dan mendapati 32 kotak bungkusan besar tersimpan dalam van manakala 12 kotak lagi ditemukan di dalam kawasan bekas pondok.

Barang tegahan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjut.

PPDB turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah kepada pihak polis melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Barang tegahan yang ditemui dalam sebuah van semasa pemeriksaan oleh anggota polis di kawasan bekas ladang ternakan itik di Kampung Puni Daerah Temburong. – Gambar serahan PPDB