226 penuntut dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Seramai 226 orang penuntut Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) yang lulus dalam Sijil Peperiksaan Ugama Brunei dan Brunei Cambridge GCE ‘0’ Level telah diraikan pada Majlis Haflu Takharruj Penuntut Sanah 10 Fast Track dan 11 Normal Track, hari ini.

Hadir menyampaikan sijil pada para penuntut yang diraikan pada majlis di Dewan Serba Guna SUAMPRIPAHS itu ialah Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Pengetua sekolah, Hajah Azizah binti Haji Muhammad semasa berucap menyatakan, pihak sekolah bukan saja memberi tumpuan utama dalam bidang akademik yang mana penuntut di sekolah berkenaan secara umumnya juga tidak ketinggalan bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

Beliau menjelaskan, sepanjang 2018 beberapa kejayaan dalam bidang kokurikulum dapat dicapai antaranya menjadi juara dalam pertandingan tausyeh antara sekolah-sekolah Arab anjuran Sekolah Persediaan Arab Temburong.

Selain itu, johan dalam Pertandingan Tausyeh Sekolah-sekolah dan Maktab-maktab bagi Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dr Haji Adanan menyampaikan sijil kepada salah seorang penuntut cemerlang pada majlis tersebut.

“Di samping itu, sekolah juga pernah di nobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Pidato Bahasa Arab kali ke-10 antara sekolah-sekolah Arab,” tambahnya. Pada majlis itu, lapan orang penuntut menerima Anugerah Penuntut Terbaik dalam Peperiksaan SPUB dan empat lagi menerima Anugerah Penuntut Terbaik dalam peperiksaan kelayakan BC-BGCE Peringkat ‘O’.

Dayangku ‘Afifah Syakirah binti Pengiran Haji Kamaluddin merupakan penerima Anugerah Penuntut Cemerlang dalam Akademik dan Dayang Norafifah binti Haji Latif menerima Anugerah Penuntut Cemerlang dalam Kokurikulum.

Sementara itu, Dayang Adriana Muzfirah binti Haji Roslan pula dianugerahkan sebagai pelajar mithali tahun 2018.

Majlis antara lain bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para penuntut yang mencapai keputusan cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum di samping mengeratkan silaturahim antara warga sekolah dengan ibu bapa penuntut.Selain itu juga bagi memohon keberkatan, taufik, hidayah dan keredaan daripada Allah SWT supaya pendidikan Arab dan agama di negara ini akan terus berkembang maju dari semasa ke semasa.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai yang dipimpin oleh tenaga pengajar sekolah, Haji Hazwan bin Haji Salim.

Manakala itu, ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-Mujadilah dibacakan oleh penuntut Tahun 7, 9 dan 10. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pentas dan tayangan video penghargaan daripada penuntut yang diraikan dan untuk memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh tenaga pengajar sekolah, Sayed Ali Mohammad Moustafa Ali El-Saghir.