22,928 kanak-kanak terima vaksin polio di Labuan

LABUAN, 9 JULAI – Seramai 22,928 orang kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah di sini telah menerima dos pertama vaksin bivalent oral polio (bOPV) sejak kempen imunisasi polio diadakan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata daripada jumlah itu, 81.5 peratus atau 19,775 adalah rakyat Malaysia manakala 3,153 bukan warganegara Malaysia.

Beliau berkata kempen untuk memastikan kanak-kanak menerima vaksin oral itu masih berjalan sehingga jumlahnya mencapai sasaran 32,131 kanak-kanak.

“Pencapaian kami dalam kempen imunisasi polio adalah 71.4 peratus, jadi kami akan terus melakukan kunjungan dari rumah ke rumah terutama di penempatan sementara pelarian di Kiamsam dan Kampung Muslim manakala dos kedua bOPV akan mula diberi pada 13 Julai.

“Kempen itu adalah inisiatif jabatan untuk membebaskan Labuan daripada jangkitan polio,” katanya semasa memberi taklimat kepada Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba di dewan serbaguna Jabatan Kesihatan di sini hari ini.

Dr Ismuni berkata “kempen itu dilancarkan berikutan penemuan viros polio dalam sampel air kumbahan yang disahkan oleh makmal rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia,” katanya. – Bernama