Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 ahli PK terima sijil kursus

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Seramai 23 orang peserta yang mengikuti Kursus Keberkesanan Pengawasan Kejiranan (PK) sesi 1/2018 telah menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang diadakan di Pusat Pembelajaran Berterusan Polis, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Ketua Urus setia Pesuruhjaya Polis, Timbalan Penguasa Polis Hamydon bin Ibrahim dan turut dihadiri oleh para pegawai dan anggota dari Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) selaku Urus setia PK PDB.

    Kursus selama dua hari itu telah disertai oleh para kakitangan kerajaan, swasta dan juga orang ramai yang merupakan ahli yang berdaftar di bawah Program PK, Daerah Polis Brunei dan Muara.

    Sepanjang mengikuti kursus, para peserta telah diberi taklimat dan penerangan yang disampaikan oleh para pegawai dari beberapa jabatan di bawah PDB serta pegawai jemputan dari Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Kursus berkenaan adalah bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman secara lebih terperinci mengenai tugasan sebagai ahli PK di samping tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil apabila menghadapi sebarang insiden berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

    Dalam pada itu, kursus PK ini juga diharapkan dapat memberi sedikit sebanyak impak untuk menjadi titik tolak kepada pemangkin bagi mencapai hasrat PK dalam membantu mencegah, membanteras dan memerangi jenayah di negara ini.

    Timbalan Penguasa Polis Hamydon menyampaikan sijil kursus kepada salah seorang peserta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda