Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Seramai 23 orang yang terdiri daripada 20 orang warga Thailand dan tiga orang warga asing telah berlepas meninggalkan Brunei, hari ini, melalui penerbangan khas B1519 Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).
Penerbangan yang berlepas pada pukul 10:55 pagi dan selamat mendarat di Suvarnabhumi Airport kira-kira 12:40 tengah hari waktu tempatan itu adalah hasil kerjasama Kedutaan Besar Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam dengan RB untuk membawa pulang warga Thailand yang terdiri daripada pegawai kedutaan, pelajar ketenteraan, para pekerja migran dan orang persendirian termasuklah warga asing yang diberikan kebenaran khas untuk memasuki negara itu.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.
Sebelum menaiki pesawat, para penumpang juga menerima pek penjagaan kesihatan yang mengandungi barangan keperluan perjalanan seperti penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan dan juga bungkusan makan tengah hari yang disampaikan oleh PYT Wanthanee Viputwongsakul.
Puan Yang Terutama turut melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penerbangan Awam serta RB atas bantuan dan kerjasama menguruskan penerbangan khas berkenaan.
Ia merupakan penerbangan khas keempat yang dijayakan di mana sebelumnya pada 20 Jun lalu seramai 44 orang warga Thailand telah berjaya dihantar dan selamat sampai di Thailand manakala pada penerbangan khas kedua 19 Ogos berjaya membawa pulang seramai 60 orang penumpang dan penerbangan khas ketiga yang berlepas pada 16 September lalu pula membawa seramai 49 orang warga Thailand.