NEW YORK, 3 Jan – Seramai 23 penduduk cedera selepas kebakaran memusnahkan sebuah bangunan di The Bronx di sini, semalam.
Minggu lalu, kebakaran turut berlaku di kawasan sama yang meragut seramai 12 nyawa.
“Anggota kami tiba di lokasi kejadian ketika api sedang marak. Namun, kami berjaya membawa keluar beberapa mangsa yang terperangkap.
“Syukur kerana semua mangsa berada dalam keadaan baik,” kata ketua pasukan bomba New York, Daniel Nigro.
Menurut Nigro, sembilan kanak-kanak adalah antara mangsa yang berjaya diselamatkan.
Bagaimanapun, jurucakap jabatan bomba yang dihubungi AFP memaklumkan, empat daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 19 lagi hanya cedera ringan.
Insiden kebakaran itu menyebabkan 11 keluarga, termasuk 29 dewasa dan 11 kanak-kanak hilang tempat tinggal.
Seramai 200 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran dan ia berjaya dikawal dalam tempoh lapan jam.
Kebakaran berhampiran Zoo Bronx itu dipercayai bermula dari kilang perabot di aras bawah bangunan sebelum merebak ke bahagian lain dengan cepat. – AFP