23 lagi sumbangan komputer diagihkan

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan Kementerian Pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kementerian Kesihatan telah mengagihkan sebanyak 23 unit komputer kepada lima buah sekolah dalam Majlis Pengagihan Sumbangan Peralatan Komputer (kumpulan kedua) pada 23 April dan 27 April lalu.

Komputer yang disumbangkan berkenaan adalah hasil daripada inisiatif bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalamn (AITI) yang pada ketika ini membukakan sumbangan komputer, komputer riba dan tablet daripada orang ramai bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta membantu para pelajar yang memerlukan semasa pandemik COVID-19 di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, lima buah sekolah yang menerima sumbangan komputer berkenaan adalah Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS), Sekolah Menengah Berakas (SMB), Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB), Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Mentiri dan Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK).

Peralatan komputer berkenaan telah disampaikan oleh pengetua-pengetua sekolah di sekolah masing-masing iaitu bagi pelajar terpilih dari SMAS, sumbangan diserahkan oleh Timbalan Pengetua, Haji Fadillah bin Haji Ismail, bagi SMB sumbangan diserahkan oleh Pengetua, Awang Alexander bin Badang. Manakala di SMPDSM, sumbangan diserahkan oleh Timbalan Pengetua Akademik, Haji Asahibol Bahri bin Haji Shahbudin dan di SMSAB sumbangan diserahkan oleh Timbalan Pengetua, Hajah Junaidah binti Haji Tajudin serta SMLK sumbangan diserahkan oleh Pengetua Sekolah, Dayang Rosmawati binti Mohammad.

Penyerahan peralatan komputer kepada pelajar-pelajar terpilih dibuat secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan perkumpulan besar bagi mencegah penularan wabak COVID -19.

Pengagihan peralatan itu akan diteruskan lagi ke beberapa buah sekolah khususnya kepada yang memerlukan. Pada kali ini, pengagihan telah pun diadakan dengan menggunakan kaedah pandu lalu dengan mengambil kira penjarakan sosial bagi mencegah dan mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Pihak Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan pihak AITI telah sama-sama berganding bahu dalam memastikan peralatan-peralatan komputer yang disumbangkan memenuhi spesifikasi minimum yang diperlukan iaitu dilengkapi dengan pemasangan perisian-perisian tertentu bagi tujuan pembelajaran dalam talian.

Manakala itu, Jawatankuasa Pengagihan, Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti pelajar-pelajar yang bakal menerima peralatan komputer berkenaan mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Awang Alexander ketika menyampaikan sumbangan komputer kepada salah seorang pelajar sekolah berkenaan.