23 maut landasan kereta api runtuh

MEXICO, 4 MEI – Landasan kereta api Bandar Mexico runtuh di ibu negara Mexico semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang terkorban dan puluhan lagi cedera ketika kereta api tersebut menjunam ke bawah, kata pihak berkuasa.

Gerabak kereta api dilihat tergantung di atas jalan dengan kabel berpintal.

“Seramai 23 orang terkorban,” kata Datuk Bandar Mexico, Claudia Sheinbaum kepada wartawan di lokasi kejadian di selatan ibu kota.

Kira-kira 79 yang lain lagi cedera dalam kemalangan tragis itu, salah satu insiden terburuk di metro Bandar Mexico sejak ia mula dilancarkan pada tahun 1969.

Saudara-mara dalam keadaan cemas berkumpul di lokasi menunggu berita mengenai mereka yang dikenali berada di dalam kereta api berkenaan.

Landasan kereta api metro runtuh di Bandar Mexico semalam, membunuh kira-kira 23 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 79 yang lain, kata pegawai bandar. – AP

Efrain Juarez mengatakan bahawa anaknya berada di dalam serpihan bangkai kereta api tersebut.

“Menantu saya menghubungi kami. Beliau ada bersamanya dan beliau memberitahu kami struktur itu jatuh di atas mereka,” katanya kepada AFP.

Seorang lelaki lain yang tidak memberikan namanya mengatakan bahawa abangnya adalah antara mereka yang terperangkap.

“Beliau datang bersama isterinya dan mereka berjaya mengeluarkannya dan kami tidak tahu apa-apa,” katanya.

Puluhan pekerja kecemasan dilihat cuba menyelamatkan mangsa dari gerabak tetapi terpaksa ditangguhkan kerana bimbang keadaan bangkai kereta api itu tidak stabil.

“Buat masa ini misi penyelamat telah ditangguhkan kerana keadaan kereta api tidak stabil. Sebuah kren akan datang untuk meneruskan kerja itu,” kata Sheinbaum. – AFP