23 maut lori minyak terbakar

LOKOJA, 24 SEPT – Seramai 23 orang termasuk pelajar terkorban apabila sebuah lori membawa muatan petrol terbalik dan terbakar, di jalan raya yang sibuk di tengah bandar di wilayah berkenaan, semalam.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, berkata kematian 23 mangsa seperti yang disahkan oleh Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan adalah tragedi buruk yang menimpa negara.

“Saya amat bimbang dengan kejadian yang sering berlaku dan membabitkan jumlah korban yang ramai di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau menggesa semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak kejadian serupa berlaku di masa depan.

Kemalangan membabitkan lori membawa muatan petrol sering berlaku di jalan raya Nigeria yang tidak diselenggara.

Dalam kejadian itu, beberapa kenderaan termasuk bas membawa pelajar dari sebuah politeknik terbakar.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila brek lori membawa muatan petrol yang datang dari arah Okene gagal berfungsi mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan terbakar di lebuh raya Lokoja-Abuja. – AFP