COLOMBO, 16 April – Harapan untuk mencari mangsa hidup di bawah runtuhan sampah di ibu negara Sri Lanka lenyap hari ini apabila jumlah kematian mencecah 23 orang, dengan enam lagi dilaporkan masih hilang, kata polis.
Beratus-ratus tentera, dengan bantuan jentera berat sedang menggali sampah dan runtuhan daripada kira-kira 145 buah rumah yang musnah apabila sampah setinggi 300 kaki runtuh pada Jumaat.
“Usaha menyelamat semakin menjadi satu operasi pemulihan,” kata seorang pegawai polis di tempat kejadian.
“Adalah sukar untuk membayangkan sesiapa yang dapat hidup di bawah keadaan toksik ini.”
Katanya, enam orang dilaporkan hilang pada bencana Jumaat di Kolonnawa di timur laut ibu negara.

Hospital Colombo National berkata empat kanak-kanak berusia di antara 11 dan 15 tahun adalah antara 23 orang yang terbunuh. Jurucakap hospital Pushpa Soysa berkata seorang lelaki dan seorang wanita yang dikeluarkan daripada runtuhan itu pada Jumaat masih berada dalam wad rawatan rapi manakala 11 yang lain masih ditahan di hospital.
Polis telah mempertingkatkan keselamatan di kawasan itu ekoran laporan penjarahan dan berkata mereka menahan 18 orang yang disyaki merompak barang kepunyaan mangsa.
Presiden Maithripala Sirisena mengarahkan ratusan tentera supaya mencari mangsa yang hidup dan membantu usaha menyelamat dari jabatan bomba.
Perdana Menteri Ranil Wickreesinghe, yang melawat Jepun sekarang, berkata pengaturan telah pun dibuat untuk memindahkan sampah, namun ia runtuh sebelum kerja-kerja pemindahan dapat dimulakan.
Wickremesinghe berkata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menawarkan bantuan dengan usaha pemulihan dan satu kumpulan teknikal akan dihantar ke Sri Lanka untuk menilai keadaan.
Kira-kira 800 tan bahan buangan pejal ditambah setiap hari ke tempat pembuangan terbuka itu.
Polis berkata sekitar 145 buah rumah, kebanyakannya gubuk, telah musnah apabila segunung sampah jatuh ber-derang berikutan hujan lebat pada hari sebelumnya dan kebakaran yang melanda beberapa jam sebelumnya.
Lebih 600 orang telah diberikan tempat perlindungan sementara di sebuah sekolah milik kerajaan di kawasan itu ketika pihak berkuasa yang melihat penginapan alternatif bagi mereka yang tinggal berhampiran tempat pembuangan sampah itu.
Kebanyakan penduduk telah mengosongkan rumah mereka sebelum bencana itu kerana hujan lebat.
Parlimen Sri Lanka telah memberi amaran baru-baru ini bahawa sampah 23 juta tan yang mereput di Kolonnawa membahayakan kepada kesihatan yang serius.
Pelbagai usaha sedang dijalankan untuk menjana elektrik menggunakan bahan buangan pepejal sebagai bahan api. – AFP