23 Mei rukyah anak bulan Syawal

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Penglihatan anak bulan Syawal bagi Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi akan diadakan pada 23 Mei ini di seluruh negara.

Menurut makluman Mahkamah Rayuan Syariah Negara Brunei Darussalam, penglihatan anak bulan Syawal akan diadakan di Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuh raya Tungku pada jam 5 petang dan tempat-tempat lain yang telah ditetapkan bagi melihat anak bulan Syawal.

Pada hari tersebut, hakim-hakim Syarie dan pegawai-pegawai mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama para pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan akan berada di tempat-tempat yang ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Syawal 1441H).

Berikutan dengan itu, pengumuman satu Syawal (Hari Raya Aidilfitri) bagi tahun ini akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang tersebut diperoleh melalui pihak berkenaan.