Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 peserta perdengarkan bacaan Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Seramai 23 orang peserta terdiri daripada 20 qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446H/2025M, hari ini.

    Musabaqah yang berjalan selama tiga hari berturut-turut sehingga 13 November itu diadakan di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada hari pertama pada sebelah pagi, Pengarah Perundangan Islam, Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, manakala sebelah petang dihadiri oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Harris Hamdillah bin Masri.

    Pada tahun ini, seramai 33 orang iaitu 26 orang qari dan tujuh orang qariah yang terpilih telah melalui Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1446H/2025M yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Tutong pada 22 hingga 24 Oktober lalu.

    Manakala lapan orang iaitu lima qari dan tiga qariah sebagai peserta menunggu dari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445H/2024M.

    Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan di hari pertama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Dr Haji Hardifadhillah semasa hadir selaku tetamu kehormat pada sebelah pagi. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Sementara 15 orang yang terdiri daripada 14 qari dan seorang peserta qariah adalah peserta musabaqah yang mendapat markah 80 peratus ke atas tiga tahun berturut-turut di peringkat separuh akhir kebangsaan; johan qari peringkat akhir kebangsaan tahun 1443H/2022M; dan johan qari Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1445H/2024M.

    Pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada peserta dan hakim musabaqah membaca Al-Quran akan diadakan pada 14 November di Dewan Muzakarah, ICC, Berakas.

    Siaran langsung Musabaqah juga dapat diikuti melalui Instagram Kementerian Hal Ehwal Ugama @kheu.brunei dan Facebook www.facebook.com/kheu.brunei.

    Musabaqah ini dihasratkan dapat memajukan dan mengembangkan bidang Al-Quran serta dapat mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan memohon kepada Allah SWT untuk perlindungan supaya jauh dari kelalaian.

    Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan bagi hari kedua akan diteruskan lagi esok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda