230 individu ingkar PKPP ditahan

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Seramai 230 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Isnin, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 13 direman mana-kala 215 individu lagi dikenakan kompaun, kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Polis telah membuat 65 sekatan jalan raya dan memeriksa 27,200 kenderaan, bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan menahan dua individu atas kesalahan imigresen, katanya dalam kenyataan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang masuk hari ke-63 hari ini.

Mengenai kuarantin wajib katanya, seramai 9,498 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 58 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 1,896 telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 31 negara, antaranya, Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, dan Iran.” – Bernama