Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    23,000 alami masalah penglihatan di Brunei

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Lyna Mohamad

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Terdapat kira-kira 23,000 orang hidup dengan masalah penglihatan di Negara Brunei Darussalam, menurut statistik terkini pada 2020 daripada Agensi Antarabangsa bagi Pencegahan Buta Penglihatan (IAB).

    Daripada jumlah itu, lebih daripada 800 orang diklasifikasikan sebagai buta.

    “Oleh yang demikian, amat mustahak bagi Negara Brunei Darussalam untuk mengambil pendekatan seluruh negara dalam isu penglihatan dan memastikan kesihatan mata termasuk dalam rancangan dan dasar pembangunan yang relevan.”

    Perangkaan dan seruan itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada majlis sempena Hari Penglihatan Sedunia 2022 dan Minggu Penjagaan Mata Asia Pasifik ke-12 yang berlangsung di Ruang Legar, Pusat Mata, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), kelmarin.

    Beliau berkata bahawa antara punca utama masalah penglihatan di Brunei adalah katarak, refractive error dan diabetic retinopathy di mana dalam tempoh 12 bulan yang lalu, ketiga-tiga keadaan yang boleh dirawat berkenaan telah menyumbang kepada 35 peratus daripada punca gangguan penglihatan di semua hospital dan klinik yang dihadiri di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menjalani pemeriksaan mata pada majlis Hari Penglihatan Sedunia 2022 dan Minggu Penjagaan Mata Asia Pasifik ke-12 di Hospital RIPAS, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan bergambar bersama peserta pada majlis Hari Penglihatan Sedunia 2022 dan Minggu Penjagaan Mata Asia Pasifik ke-12 di Hospital RIPAS, kelmarin.

    Diabetic retinopathy, jelas Yang Berhormat Dato, merupakan komplikasi yang lazimnya terjadi disebabkan penyakit kencing manis di mana paras gula yang tinggi di dalam darah menyebabkan kerosakan kepada retina mata serta punca utama kehilangan penglihatan yang boleh dipulihkan dan dirawat.

    Penyakit itu, tambahnya, menjejaskan lebih kurang satu pertiga daripada penghidap diabetes, oleh itu pengesanan serta rawatan awal adalah penting dalam mencegah kehilangan penglihatan yang kekal.

    “Pada ketika ini, dianggarkan sebanyak 20 peratus daripada penduduk Negara Brunei Darussalam iaitu lebih kurang 50,000 orang, menghidap penyakit diabetes, yang mana satu dalam lima penghidap diabetes terkesan oleh diabetic retinopathy.

    Oleh yang demikian, program saringan diabetic retinopathy yang berkesan dalam kalangan penghidap penyakit diabetes adalah sangat penting bagi mencegah komplikasi serta kehilangan penglihatan secara kekal.

    “Walau bagaimanapun, kadar liputan program saringan diabetic retinopathy di negara ini adalah hanya pada kadar 56 peratus, antara lainnya disebabkan ketidakhadiran pesakit untuk ujian saringan berkenaan,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Beliau turut menyatakan bahawa sejak dua tahun yang lalu, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Oftalmologi telah mula meneroka dan membuat penyelidikan terhadap potensi sistem kecerdasan buatan (AI) pembelajaran mendalam klinikal.

    Kajian pengesahan klinikal yang telah dikendalikan baru-baru ini, jelasnya, telah menyimpulkan bahawa penggunaan perisian AI menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam pengesanan awal referable diabetic retinopathy dalam kalangan populasi pesakit di negara ini.

    Di samping itu, penggunaan sistem AI juga akan membantu memendekkan waktu pemeriksaan dijalankan daripada 60 minit kepada lebih kurang 5 minit kerana pesakit tidak lagi diperlukan untuk menggunakan ejen farmokologi untuk membesarkan anak mata.

    Pembentukan semula dan penambahbaikan kepada program saringan diabetic retinopathy yang sedia ada ini, bukan sahaja adalah selaras dengan matlamat strategik Kementerian Kesihatan dalam pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit tetapi juga memberikan penekanan akan kepentingan penggunaan kesihatan digital sebagai satu norma. Ia juga adalah selaras dengan wawasan Negara Brunei Darussalam untuk memberi kualiti kehidupan yang tinggi.

    “Oleh dengan itu, dalam kesempatan ini, saya suka-cita memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan menjalankan satu kajian yang lebih besar untuk mengkaji penggunaan perisian AI dalam kalangan penghidap kencing manis dalam masa nyata pada masa yang terdekat ini,” beliau memaklumkan.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham telah menyempurnakan perasmian Majlis dan Hari Penglihatan Sedunia 2022 sempena Minggu Penjagaan Mata Asia Pasifik ke-12 diikuti pemeriksaan mata menggunakan teknologi AI.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...