2,328 petugas barisan hadapan Labuan selesai divaksin

LABUAN, 7 MAC – Pemberian suntikan dos pertama vaksin COVID 19, Pfizer-BioNTech bagi 2,328 petugas barisan hadapan di bawah fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, berakhir hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata petugas barisan hadapan itu terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan daripada agensi kerajaan (di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana) termasuk pemimpin komuniti dan pengamal media.

“Kami berterima kasih atas kerjasama erat semua agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pemberian dos pertama selama lapan hari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Labuan adalah antara negeri pertama yang melaksanakan pemberian vaksinasi di bawah PICK bermula 27 Februari, sehari selepas ketibaan vaksin itu dari Kota Kinabalu melalui Terminal Feri Labuan.

Fasa kedua vaksinasi (melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya) dijadual pada April, sebaik selepas pemberian dos kedua selesai dan fasa ketiga (bagi kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas) dijadualkan dari Ogos hingga Februari tahun depan. – Bernama

Dr Ismuni Bohari memegang kad ‘Saya Telah Divaksin’ setelah menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Labuan. – Bernama