234 terima anak kunci

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani , Sim Y. H. dan Infofoto

TEMBURONG, 18 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah kepada seramai 234 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) bagi Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Ghani.

Dalam sembah alu-aluannya, Awang Abdul Ghani menyembahkan bahawa berkat kepimpinan Baginda Sultan yang adil lagi bijaksana, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, khususnya yang tidak memiliki tanah persendirian dapat sama-sama menikmati kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan melalui RPN yang terus berkembang seiring dengan kemajuan semasa.

Awang Abdul Ghani menyembahkan lagi bahawa penganugerahan anak-anak kunci rumah berkenaan, jelas menggambarkan sifat pemedulian dan keprihatinan Baginda Sultan terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk Baginda serta dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat di Daerah Temburong.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menandatangani plak anak kunci semasa berangkat ke kediaman penerima anak kunci rumah RPN Rataie.- Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima junjung ziarah daripada keluarga penerima anak kunci rumah di RPN Rataie.
Baginda Sultan berkenan menyempurnakan penganugerahan anak kunci rumah kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Dewan Belalong.
Baginda Sultan berkenan meninjau Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujong Jalan.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Semabat.
Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama keluarga Awang Abdul Zaki.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyaksikan nasi bungkus yang dihasilkan oleh keluarga Awang Mat Daud.

Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama keluarga Awang Mohammad Joshenry.
Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama keluarga Dayangku Nursusila.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke kediaman Yang Berhormat Haji Emran.
Para penerima yang dikurniakan anak-anak kunci rumah teres.

“Seterusnya, melalui kebijaksanaan Kebawah Duli Tuan Patik, Daerah Temburong juga turut sama menikmati pembangunan berterusan melalui peningkatan prasarana awam di peringkat mukim dan kampung termasuk penyediaan rumah-rumah di bawah Skim RPN yang mempunyai reka bentuk yang kondusif, terkini dan selamat serta disediakan kemudahan-kemudahan yang bersesuaian seperti dewan kemasyarakatan, tempat riadah, permainan kanak-kanak dan lain-lain.”

Baginda Sultan kemudian berkenan menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci kepada seramai 234 orang penerima anak kunci rumah jenis teres di bawah RPN Rataie.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan kepada empat buah institusi pendidikan iaitu Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Sekolah Rendah Puni dan Sekolah Ugama Bokok.

Institusi-institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam terus mendapat perhatian Baginda bila mana ia jelas terbukti pada setiap Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di seluruh negara, Baginda juga berkenan bercemar duli berangkat melawat ke sekolah-sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.

Selepas melawat institusi-institusi pendidikan berkenaan, Baginda Sultan berkenan berangkat meneruskan lawatan ke Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujong Jalan, Kampung Ujong Jalan.

Pos kawalan itu mula beroperasi pada 24 April 2012 menempatkan beberapa buah agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Mencegah Rasuah, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

Dari aspek keselamatan, pos kawalan itu berperanan mengawal dan memeriksa orang-orang yang keluar/ masuk ke/ dari Negara Brunei Darussalam manakala aspek kemudahan pula, pos kawalan berkenaan memberikan kemudahan perjalanan bagi orang yang keluar/ masuk ke / dari Negara Brunei Darussalam.

Selesai membuat lawatan di Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujong Jalan, Baginda berkenan berangkat ke rumah Penghulu Mukim Bokok yang juga Pemangku Penghulu Mukim Amo, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu di Kampung Meniup, Jalan Pendaruan Temada, Mukim Bokok.

Dengan keramaian penduduk seramai 3,567 orang, Mukim Bokok mempunyai keluasan 14,616 hektar dan satu-satunya kawasan Skim Perumahan Negara (SPN) di Daerah Temburong juga terletak di Mukim Bokok iaitu di Kampung Rataie.

Baginda kemudian berkenan berangkat meninjau Pos Kawalan Polis Temada di mana pos berkenaan selain mengawal keselamatan di kawasan Kampung Temada yang bersempadan dengan Limbang, Sarawak, ia juga berperanan memberi bantuan yang berpatutan kepada orang ramai yang memerlukan.

Seterusnya Baginda Sultan berkenan meninjau ke Rumah Panjang Kampung Semabat di mana rumah panjang berkenaan terletak kira-kira 26 kilometer dari Pekan Bangar, ia merupakan sebuah rumah panjang moden yang mempunyai 17 pintu dan dihuni oleh 54 orang.

Rumah panjang berkenaan dibina pada 1983 dan sering menerima kunjungan daripada para pelancong

Para penerima anak kunci rumah tidak melepaskan peluang keemasan untuk bersua muka dengan Baginda Sultan apabila Baginda berkenan singgah ke 12 buah rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Rataie termasuk rumah Dayangku Nursusila binti Pengiran Jamludin, Awang Abdul Zaki bin Jambin, Awang Mohammad Joshenry bin Haji Roslee dan Awang Mat Daud bin Mohd Said.

Dengan keluasan 106 meter persegi, setiap unit rumah teres di kawasan RPN Rataie mempunyai tiga bilik tidur, bilik mandi dan dapur.

Sementara Kawasan RPN dengan keluasan keseluruhan 158 hektar, terdapat sebanyak 603 unit rumah di mana daripada jumlah berkenaan sebanyak 358 unit adalah rumah jenis teres. Kawasan perumahan berkenaan merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam pada masa hadapan seperti sekolah, masjid, taman dan kawasan rekreasi dan taman permainan.

Salah seorang penerima anak kunci rumah teres, Awang Zaminuddin bin Haji Ismail melafazkan kesyukuran dan menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas pengurniaan rumah teres bagi dirinya serta keluarga.

Beliau menyatakan akan menjaga rumah yang dikurniakan itu dengan baik serta percaya akan dapat tinggal dengan selesa dan selamat.

Menurut perangkaan terkini, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan hingga ke hari ini, lebih 28 ribu buah rumah dan lot tanah di bawah SPN seluruh negara telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan.

Daripada jumlah berkenaan, 635 orang ialah pemohon dari Daerah Temburong. Permohonan mengikuti SPN yang diterima di Daerah Temburong mencatatkan jumlah yang terendah dari daerah-daerah yang lain.

Dengan penyediaan perumahan di bawah SPN itu, ia menggambarkan bahawa agenda pembangunan perumahan berkenaan sentiasa menjadi perhatian kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035.