2,394 pelajar ambil PCKSA

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Peperiksaan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA) akan dilaksanakan menggunakan Markah Penilaian Sekolah iaitu dengan mengambil kira perolehan markah pelajar dalam Penilaian Kendalian Sekolah sama ada peperiksaan setengah tahun, ujian topikal dan penilaian hasil kerja sepanjang tahun 2021.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan.

Beliau turut mengongsikan 2,394 calon telah mendaftar.

“Hasil pencapaian pelajar tersebut akan diselaraskan oleh Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) yang terus berhubung melalui guru-guru besar calon-calon berkenaan sama ada guru-guru besar sekolah agama bagi mata pelajaran agama dan guru-guru besar sekolah umum bagi mata pelajaran Matematik dan Sains sepertimana dalam siaran akhbar,” jelas Yang berhormat Pehin.