Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB), operator perjalanan Islam unggul di Negara Brunei Darussalam mengumumkan lawatan keluar negara pertamanya dalam masa dua tahun.
Sehubungan dengan itu, rombongan seramai 24 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ke Turkiye bagi lawatan selama 10 hari bermula hari ini.
Rombongan lawatan itu diketuai oleh Penolong Pengurus Besar Darussalam Travel & Tours, Hajah Nuratiqah binti Abdullah di mana rombongan akan mengadakan lawatan ke Istanbul, Bursa, Kusadasi, Pamukkale, Cappadocia dan Ankara.
Pakej lawatan itu adalah termasuk penerbangan, penginapan, makanan dan insurans perjalanan Takaful Kembara yang disediakan oleh Insurans Islam TAIB General Takaful (IITGT).
Sebelum rombongan berlepas, mereka mendengar taklimat khas daripada Perbadanan TAIB mengenai kad debit terkini mereka yang boleh digunakan di luar negara serta juga taklimat daripada IITGT mengenai dengan liputan Takaful Kembara mereka.
Salah seorang yang menyertai rombongan lawatan itu, Awangku Daniel Asyraf bin Pengiran Muhaimin dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, menyatakan perasaan gembira dan seronok kerana dapat menyertai rombongan berkunjung melawat ke tempat-tempat menarik serta bersejarah di Turkiye.
Beliau menyatakan rasa amat bersyukur kerana berpeluang untuk mengembara ke luar negara melihat keindahan bangunan bersejarah serta budaya yang menarik di Turkiye.
Awangku Daniel Asyraf yang baru menamatkan pengajiannya di Universiti Brunei Darussalam berharap menerusi lawatannya ke Turkiye, akan dapat memberikannya pengalaman dan inspirasi sama ada untuk meneruskan lagi pengajian ke peringkat lebih tinggi atau meneroka alam pekerjaan.
Mengulas mengenai pilihan untuk menyertai pakej lawatan yang ditawarkan Darussalam Travel & Tours, beliau menyatakan ia sebuah operator perjalanan yang amat terkenal di Brunei yang menawarkan pakej amat menarik.
Darussalam Travel & Tours akan menganjurkan lebih banyak pakej lawatan keluar negara bagi Disember bersempena percutian sekolah.