LABUAN, 12 OKT – Sejumlah 24 butir peluru dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan Perbadanan Labuan di tandas awam Anjung Ikan Bakar, Kampung Lubok Temiang, di sini hari ini.
Ketua Polis Labuan, Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata 22 butir peluru berukuran 7.62mm dan dua butir berukuran 20mm disaluti tanah dan berkarat itu ditemukan oleh pekerja berkenaan pada jam 7 pagi tadi.
“Kami percaya peluru itu telah dijumpai oleh individu yang tidak dikenal pasti di tempat lain sebelum meninggalkan kotak berisi peluru itu di tandas,” katanya.
Beliau menasihatkan orang awam yang menjumpai objek mencurigakan agar segera memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama