24 maut pusat pemulihan dadah diserbu

GUABAJUATO, 2 JULAI – Sekumpulan lelaki bersenjata semalam menyerang sebuah pusat pemulihan dadah di tengah Mexico, membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan tujuh yang lain.

Menurut laporan awal pihak berkuasa, kesemua suspek memasuki pusat terbabit dan memaksa mangsa meniarap di atas lantai sebelum menembak mereka.

Setiausaha Keselamatan Awam bandar Irapuato, Pedro Cortes, berkata suspek digambarkan oleh saksi menaiki kenderaan berwarna merah, tanpa sebarang maklumat lanjut.

“Laporan awal yang kami peroleh hanyalah kejadian itu meragut 24 nyawa dan mencederakan tujuh mangsa lain. “Pihak berkuasa sedang berusaha mengesan kenderaan itu,” katanya.

Bandar Irapuato berkata dalam satu kenyataan tiga daripada mangsa cedera berada dalam keadaan serius, tetapi tidak ada sesiapa yang diculik semasa serangan. Ia menambah kawasan itu tidak dibenarkan masuk oleh sesiapa supaya siasatan dapat dilancarkan.

Irapuato terletak di barat laut Bandar Mexico di Guanajuato, sebuah negeri yang sering berlaku jenayah terancang dan keganasan, selain menjadi tuan rumah kepada industri serta sektor pengeluaran.

Pada 21 Jun, pihak berkuasa Mexico mengumumkan penahanan 26 anggota Santa Rosa de Lima, selepas lima buah kenderaan yang dibakar digunakan untuk menghalang laluan di bandar Celaya, Salamanca dan Villagran.

Hanya sehari sebelum itu, enam sekeluarga termasuk seorang mangsa di bawah umur dilaporkan dibunuh di Celaya. – AFP

Anggota pengawal negara berjalan berhampiran pusat pemulihan dadah di Irapuato, Mexico selepas lelaki bersenjata menyerbu pusat dan melepaskan tembakan. – AP