24 maut Studio Animasi terbakar

TOKYO, 18 JULAI – Satu serangan bakar ke atas syarikat penerbitan animasi di Jepun mengorbankan 24 orang dan mencedera berpuluh lagi pada hari ini, dengan bangunan musnah dijilat api di bandar Kyoto.

Polis berkata kebakaran besar nampaknya telah dimulakan secara sengaja namun tidak adanya maklumat mengenai motif.

Angka kematian terus meningkat beberapa jam selepas kebakaran bermula, dengan pegawai jabatan bomba berkata mayat ditemui ketika mereka mencari bangunan yang musnah itu.

Seorang pegawai jabatan bomba memberitahu AFP sekurang-kurangnya 11 orang lagi ditemui ‘dalam keadaan jantung terhenti,’ istilah yang digunakan di Jepun untuk menandakan kematian mangsa sebelum ia disahkan secara rasmi.

Penemuan itu, di tingkat kedua bangunan dan ruang tangga yang menuju ke bumbung, menambah jumlah kematian kepada sekurang-kurangnya 24 orang.

Asap berkepul-kepul naik dari bangunan tiga tingkat Kyoto Animation dalam satu kebakaran di Kyoto, barat Jepun kelmarin. – AP

Pegawai berkata 35 orang juga mengalami kecederaan dalam kebakaran, 10 di antara mereka dalam keadaan serius, dan media tempatan berkata kira-kira 70 orang dipercayai berada dalam bangunan apabila api bermula.

Gambar kebakaran menunjukkan asap putih berkepul-kepul keluar dari tingkap bangunan tiga tingkat itu. Muka bangunan menjadi hangus di satu bahagian di mana api telah keluar dari tingkap.

Jabatan bomba berkata ia menerima panggilan pada pukul 10:35 pagi mengenai kebakaran di studio milik Kyoto Animation.

“Pemanggil melaporkan terdengar letupan besar dari tingkat pertama Kyoto Animation dan melihat asap,” kata jurucakap jabatan bomba.

Polis berkata mereka masih menyiasat punca kebakaran tetapi ia disyaki satu serangan membakar dengan sengaja. – AFP