Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seramai 24 orang mualaf perempuan telah berjaya menamatkan Kursus Skim Bimbingan Mualaf Lanjutan I bagi Mualaf Perempuan siri ke-100 dan menerima sijil masing-masing pada majlis penyampaian sijil, hari ini.
Pada majlis yang diadakan di Bilik Al-Irsyad, Bangunan Darul Huda Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie itu, sijil-sijil telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pentadbiran PDI, Hajah Rasiah binti Haji Taib yang turut menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik.
Kursus yang berlangsung selama 14 hari bermula 18 April lalu itu merupakan antara bimbingan yang diberikan oleh PDI dalam usaha yang tidak kendur-kendur bagi memberikan didikan agama kepada para mualaf di negara ini.
Menurut kenyataan yang diberikan, antara objektif kursus adalah untuk memberikan bimbingan kepada mualaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam terutama dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak.
Pada awalnya, ia hanya diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan bermula pada tahun ini ia telah dilaksanakan di Daerah Tutong, Belait dan Temburong bertempat di Pejabat Dakwah Belait dengan 18 penyertaan, Pejabat Dakwah Tutong dengan 15 penyertaan dan Pejabat Dakwah Temburong dengan 18 penyertaan.
Kenyataan menyatakan, seramai 1,947 orang mualaf telah menyertai kursus berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada 1992. Dengan terbukanya peluang penyertaan yang lebih luas, diharapkan akan dapat memberi ruang kepada para mualaf untuk mendapat bimbingan keagamaan sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pembimbing mengenai sebarang kemusykilan berkaitan agama yang dihadapi.
Majlis penyampaian sijil berkenaan telah dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf melalui Tarbiyah Mualaf dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Daerah Belait, Tutong dan Temburong).
