Wednesday, October 9, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 pelajar khatam Al-Quran dirai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seramai 24 orang murid Darjah 6 terdiri daripada 14 murid lelaki dan 10 murid perempuan Sekolah Ugama Anak-anak Pasukan Polis Diraja Brunei diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran selepas berjaya menamatkan bacaan Al-Quran 30 juzuk petang tadi.

    Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis, Gadong, itu dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat majlis dan isteri.

    Majlis Khatam Al-Quran terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh tetamu kehormat. Diikuti dengan bacaan Doa Sebelum Membaca Al-Quran oleh Awang Mohd Asyraaf Waqiuddin bin Mohd Arif.

    Seterusnya bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam dan disusuli dengan bacaan takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 4 dan 5. Manakala Doa Khatam dibacakan oleh peserta khatam, Awang Mohd Afe’ef ldraki bin Mohd Firnasrulilah.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan dikir dan kemudiannya penyampaian sijil khatam oleh tetamu kehormat majlis.

    Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dibacakan oleh Imam Surau Pasukan Polis Diraja Brunei, Awang Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.

    Majlis tersebut diadakan bertujuan bagi menyahut hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, di samping sebagai galakan kepada murid-murid supaya menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian.

    Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bergambar ramai bersama para peserta khatam yang diraikan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda